KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menaikkan harga model Axia G keluarannya sebanyak RM1,500 selaras dengan pertambahan komponen keselamatan pada model berkenaan. Pengeluar kenderaan itu, dalam kenyataan hari ini, menyatakan Perodua akan melengkapi varian Axia G dengan Sistem Brek Cegah Kunci (ABS) bermula Januari ini. Ia, jelasnya, sebagai antara komitmen syarikat ke arah memantapkan lagi ciri keselamatan barisan produk keluarannya. "Tempahan yang dibuat bermula pada 11 Disember dan selanjutnya akan dikenakan harga baru dan penyerahan akan dibuat bermula Januari 2016. "Bagi pelanggan yang menempah Axia G antara 1 Oktober dan 10 Disember, tetapi masih belum menerima kereta mereka, Perodua akan menawarkan baucer RM500 sebagai token," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh. Berdasarkan harga terkini model berkenaan pada laman web Perodua, harga bagi Axia G 1000cc transmisi manual adalah dari RM32,127.16 di Semenanjung Malaysia. Manakala harga bagi model transmisi automatik adalah bermula dari RM35,127.15 seunit.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/104953
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)